Sunday, March 20, 2022

SAHABAT: ABU MUSA AL-ASY’ARI (44H)

 SAHABAT: ABU MUSA AL-ASY’ARI (44H)

 ابو موسي الأشعري


Nama betulnya adalah ABDULLAH BIN QAIS BIN SALIM. Gelaran Al-‘Asy’ari kerana sempena asal keturunannya, iaitu Bani ‘Asy’ar, satu kabilah arab dari Yaman.

 

Dia berasal dari Yaman, tetapi telah berhijrah ke Mekah sebelum zaman islam lagi. Di mekah, dia berjumpa dengan Nabi dan memeluk islam.

 

Ibunya bernama ZOBIYYAH BINTI WAHAB AL-‘ATQIYYAH ظبية بنت وهب العكيّة yang al-Atqiyyah itu adalah satu kabilah arab dari Yaman juga. Ibunya memeluk islam dan meninggal di Madinah.

 

Abu Musa terlibat dalam sejarah hijrah ke Habsyah. Dengan sebab itu, perang yang pertama dia terlibat bersama dengan Nabi adalah perang Khaibar.

 

Sahabat Nabi ini diceritakan dalam hadis bahawa pernah dihantar oleh Nabi menjadi Gabenor di Yaman. Di era Umar pula, dilantik jadi gabenor di Basrah. Di era Osman, dilantik jadi gabenor di Kufah.

 

Dia pernah sampai ke Syam, iaitu dalam sejarah pembukaan kota terbabit bahkan semasa ucapan Saidina Umar di Kota al-Jabiyyah (dalam Syria), dia turut hadir dan mendengar ucapan tersebut.

 

Pada tahun 17 Hijrah, Saidina Umar mengugurkan jawatan gabenor Basrah dari al-Mughirah bin Syu’bah, lalu digantikan dengan Abu Musa. Dia antara orang utama dalam sejarah pembukaan kota al-Asbahan, iaitu pada tahun 23 Hijrah.

 

Pada era Osman menjadi Khalifah, Abu Musa digugurkan jawatan gabenor Basrah. Digantikan dengan Abdullah bin ‘Amir bin Kuraiz.

 

Semasa dia digugurkan jawatan tersebut, wang simpanannnya hanya 600 dirham. Selepas itu, dia pun berhijrah ke Kufah.

 

Semasa di Kufah, penduduk Kufah telah keluar beramai-ramai menuntut agar SA’ID BIN AL-AS digugurkan dari jawatan pegawai Kufah dan meminta agar jawatan tersebut diberikan kepada Abu Musa al-‘Asy’ari. Permintaan itu dimakbulkan oleh Saidina Osman. Pada era Saidina Ali, jawatannya di kufah itu digugurkan.

 

Dalam tragedy perang Siffin, Abu Musa al-‘Asy’ari adalah juru runding di pihak Saidina Ali dalam peristiwa Tahkim, sedangkan di pihak Muawiyyah pula adalah Amru bin al-As.

 

Tidak diketahui secara tepat, dia meninggal dunia di mana. Ada kata di mekah, dan ada kata di Kufah. Demikian juga ulama berbeza pendapat berkenaan Tarikh kematiannya; ada kata, 44 hijrah, ada kata 42 hijrah; ada kata 49 hijrah; ada kata 50 hijrah; ada kata 53 hijrah. Namun, ditarjihkan oleh al-Zahabi dan Ibn al-Jazari pada tahun 44 hijrah.

 

Menurut catatan sejarah, dikatakan bahawa dia berbadan rendah dan kurus serta berjanggut nipis.

 

Dia dikurniakan suara yang merdu, sehinggakan Nabi saw pernah memuji dia membaca al-Quran dengan kata Nabi:

 

لقد أوتي هذا مزمارًا من مزامير آل داود

“Sesungguhnya dia ini diberikan seruling dari segala seruling pengikut Daud”

 

Seorang Tabiin (mukhadram) bernama Abu Osman al-Nahdi pernah berkata:

 

ما سمعت مزمارًا ولا طنبورًا ولا صنجًا أحسن من صوت أبي موسى الأشعري، إن كان ليصلي بنا فنود أنه قرأ البقرة، من حسن صوته

“aku tidak pernah dengar seruling, gendang dan sambal yang lebih baik berbanding suara Abu Musa al-As’ari. Apabila dia menjadi imam solat kepada kami, pasti kami berharap agar dia membaca surah al-Baqarah disebabkan keindahan suaranya”

No comments:

Post a Comment