HISHAM BIN ABI ABDILLAH AL-DASTUWAIE (74H-154H)
هِشَامٍ بن ابي عبدالله
الدستوائي
Salah seorang rijal al-Kutub
al-Sittah ini berasal dari Basrah dan pernah sampai ke Syam. Dia adalah bapa
kepada Muaz bin Hisham dan juga dari kalangan Tabie al-Tabiin.
Dia mendapat gelaran
al-Dastuwai الدستوائي yang berasal dari tempat bernama Dastuwa (sekarang di salah
satu tempat di Iran), bukan kerana dia berasal dari sana. Dikatakan bahawa dia
seorang saudagar kain yang hampir semua kain dia ambil dari Dastuwa sehingga
dia mendapat gelaran al-Dastuwaie.
Dalam kitab al-Siyar,
al-Imam al-Zahabi ada menyatakan bahawa Hisham adalah seorang al-Qadari,
al-Muktazili, al-Jahmmi dan syiah al-Rafidhi. Namun, didapati bahawa dia tidak
pernah menyeru manusia kepada aliran fahaman bid’ah yang dia anuti.
Dengan sebab itu,
kebanyakkan ulama hadis menerima dan beramal dengan riwayatnya. Turut mengakui hal ini adalah Imam Ahmad bin
Hanbal dan Ibn Sa’id.
Dalam pada itu, tidak
sedikit juga dari kalangan ulama hadis yang berhati-hati dengan
riwayatnya.
Sepertimana kita tahu,
antara ulama yang amat keras dan tegas terhadap Ahli Bid’ah adalah Imam Malik.
Hal ini berbeza dengan pendekatan sebilangan ulama hadis seperti Imam Bukhari
dan Muslim yang masih lagi menerima riwayat ahli Bid’ah, tetapi dengan syarat-syarat
yang ketat; antara syarat-syaratnya adalah kandungan matan hadis riwayatnya tidak mempunyai
sebarang unsur kebid’aahannya.
Namun begitu, imam
Malik, Ibn Sirin dan sealiran dengan mereka lebih tegas. Mereka tidak akan
terima sebarang riwayat dari ahli Bid’ah, walaupun kandungan matan hadis itu tidak
menyeru kepada fahamannya.
Memahami ini, tidak
hairan nama Hisham tidak terdapat langsung dalam Muwatta’.
Menurut beberapa kisah
menarik berkenaan Hisham adalah, diceritakan bahawa dia tidak dapat tidur dalam
keadaan pelita dipadamkan. Pernah suatu hari, isterinya bertanya berkenaan hal
itu. Dia menjawab: Setiap kali pelita dipadamkan, aku teringat kegelapan alam
kubur.
Dia perawi siqah dan
sahih. Namun, jika dalam riwayatnya ada unsur menegakkan fahaman bid’ahnya,
maka riwayat tersebut tidak boleh diterima.
No comments:
Post a Comment