Showing posts with label DUA. Show all posts
Showing posts with label DUA. Show all posts

Monday, October 31, 2022

ABU ‘ALIYAH (93H)

 ABU ‘ALIYAH (93H)

 أَبَو الْعَالِيَةِ

 

Nama sebenarnya adalah RUFAIYY’ BIN MIHRAN AL-RAYYAHI

 

Menurut ALI BIN AL-MADINI, dia sempat di era Jahiliyyah. Namun, peluk islam dua tahun selepas Nabi wafat (manhal:1/290) bermakna, dia seorang MUKHADRAM (Arnaut:1/64)

 

Dia sempat dengan Abu Bakar dan pernah menunaikan solat Jemaah dengan menjadi makmum kepada Saidina Umar dan mendengar hadis dari Saidina Umar. (Bazl:1/183)

 

Dia pernah berkata: Aku sempat khatamkan al-Quran di era Umar sebanyak tiga kali.

 

ASIM AL-AHWAL pernah berkata: Abu al-‘Aliyah ada sikap bahawa apabila berhimpun kepadanya lebih dari kadar 4 orang, dia akan bangun dan pergi (tasawwut:2/618)

 

KOMENTAR ULAMA:

(a)                IBN HAJAR AL-ASQALANI kata, dia tabiin besar yang popular dengan gelarannya (manhal:1/290)

(b)               Dianggap SIQAH oleh IBN MAIN, ABU ZUR’AH & ABU HATIM (manhal:1/290)

(c)                ABU AL-QASIM kata, ulama ijmak bahawa dia siqah. Cuma dia banyak lakukan IRSAL (manhal:1/290)

(d)               ABU BAKAR BIN ABI DAUD kata, tidak ada seorang pun orang selepas sahabat yang lebih tahu berkenaan al-Quran kecuali Abu al- ‘Aliyah. Selepas beliau adalah SA’ID BIN JUBAIR (tasawwut:2/618)

(e)               IBN ‘ADI kata, hadis-hadis yang dia riwayat adalah SOLEH.

(f)                 AL-LAKAIE kata, ijmak ulama bahawa dia siqah. (Bazl:1/184)

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah. 

Nama perawi ini disebut dalam Sunan Abi Daud untuk kali pertama, iaitu hadis ke-87.



Tuesday, October 25, 2022

ALQAMAH BIN QAIS (28SH-62H)

 ALQAMAH BIN QAIS (28SH-62H)

عَلْقَمَةَ بن قيس

 

Nama penuhnya adalah ALQAMAH BIN QAIS BIN ABDILLAH BIN MALIK BIN ALAQAMAH AL-NAKHAIE AL-KUFI. Dia dipanggil ABU SYIBL.

 

Dia merupakan ahli fiqh di Kufah, alim, ahli qari, ahli tafsir dan ahli hadis.

 

Dia dilahirkan pada hayat hidup nabi, dan meriwayatkan hadis dari ramai sahabat termasuk khalifah yang empat. (Manhal:1/286)

 

Dia tinggal di Kota al-Kufah di Iraq dan melazimi ABDULLAH BIN MAS’UD dan belajar dari sahabat besar tersebut.

 

Dalam al-Isabah, Ibn Hajar ada menukilkan perkataan Abdullah bin Mas’ud yang berkata:

 

ما أقرأ شيئًا ولا أعلمه إلا وعلقمة يقرؤه ويعلمه

Aku tidak membaca sesuatu, aku tidak mengetahui sesuatu kecuali Alqamah membacanya dan mengetahuinya.

 

Pengetahuan dia terhadap fiqh dan fatwa amat luas. Dianggap orang alim selepas Ali dan Ibn mas’ud sehingga ada setengah sahabat bertanya fatwa darinya. (al-Zahabi, al-Siyar).

 

Dia meninggal di era pemerintahan YAZID BIN MUAWIYAH ketika umurnya 90 tahun.

 

Dalam al-Siyar, AL-ZAHABI ada bawakan riwayat bahawa sebelum dia meninggal dunia, dia ada memberi wasiat;

 

إذا أنا حضرت فأجلسوا عندي من يلقنني: لا إله إلا الله، وأسرعوا بي إلى حفرتي، ولا تنعوني إلى الناس، فإني أخاف أن يكون ذلك نعيًا كنعي الجاهلية

“Apabila aku dekat dengan kematian, dudukkan orang yang yang mahu talkinkan aku dengan LA ILAHA ILLA ALLAH. Segerakan hantar aku ke kubur untuk dikebumikan. Tidak perlu bagitahu kepada orang ramai, sebab aku bimbang orang meratap sepertimana ratapan jahiliyyah”

 

AL-SAHRANPURI kata, AL-ASWAD dan ABDUL RAHMAN (bapa saudara kepada IBRAHIM AL-NAKHAIE) yang kedua-dua ini adalah anak kepada YAZID BIN QAIS; kedua-dua ini adalah anak saudara kepada ALQAMAH. Yazid adalah ABANG kepada ALQAMAH (Bazl:1/182)

 

KOMENTAR POSITIF:

(a)                Dianggap SIQAH oleh IBN MA’IN dan AHMAD. Cuma, Ahmad tambah lagi: dia siqah dan dia dari kalangan ahli kebaikan (manhal:1/286)

(b)               WALIYUDDIN AL-IRAQI kata, ulama sepakat kehebatan, ketekunan dan kemuliaannya dari sudut ilmu dan amalan agama. (Tawassut:2/616)

(c)                ABDULLAH BIN MAS’UD ada berkata, aku tidak membaca dan tidak tahu kecuali perkara itu sudah dibaca dan diketahui oleh ALQAMAH (Tawassut:2/616)

(d)               IBRAHIM AL-NAKHAIE kata, dalam kalangan murid ABDULLAH BIN MAS’UD yang mereka membaca al-Quran dan tahu pasal Sunnah adalah ALQAMAH.

(e)               AL-ZAHABI kata, dia al-imam al-hafiz amat baik dan seorang mujtahid besar.

 

Dia adalah rijal Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan al-nasaie. Hanya ibn Majah sahaja tidak riwayatkan hadis.


Nama perawi ini disebut dalam sunan Abi daud untuk kali pertama, iaitu dalam hadis 85.

ABU ZAID

  ABU ZAID

أَبو زَيْدٍ

 

 

Ada pendapat kata, Namanya ابو زائد (Manhal:1/282).

 

Ada pihak kata, gelarannya adalah AL-QURASHI AL-MADANI AL-MAKHZUMI AL-KUFI.

 

KOMEN NEGATIF:

(a)                                IBN ABD AL-BAR, AL-TARMIZI, ABU ZUR’AH, ABU HATIM, IBN AL-MUNZIR, AHMAD, AL-HAKIM, IBN ‘ADI kata, tidak diketahui nama sebenarnya. Mereka sepakat bahawa dia adalah majhul.(Ruslan:1/610 |Tawassut:2/603) IBN ABD AL-BAR menambah, bahawa hadisnya MUNGKAR. (Manhal:1/282)

(b)                                IBN HIBBAN sebut namanya dalam AL-DU’AFA’. Dia riwayatkan hadis yang dia ambil dari ABDULLAH BIN MAS’UD tanpa mutaba-ah. Tidak diketahui namanya sebenar, nama bapanya dan dari mana negerinya. (Tawassut:2/604).

(c)                                WALIYUDDIN AL-IRAQI kata, dia majhul al-Ain dan al-Hal. Bahkan, setengah ulama hadis kata dia doif. (Tawassut:2/603)

(d)                                YAHYA BIN MA’IN kata, ABU ZAID adalah MAJHUL. Tidak diketahui dia riwayatkan hadis kecuali dari ABU FAZARAH sahaja. Hadis Abdullah Bin Mas’ud berkenaan berwuduk dengan Nabiz yang dia riwayatkan adalah MUNGKAR lagi TIDAK ADA ASALNYA. (Tawassut:2/603)

(e)                                AL-BUKHARI kata, hadis bahawa dia ambil dari ABDULLAH BIN MAS’UD; dia seorang majhul. Tidak diketahui bahawa dia bersahabat dengan ABDULLAH BIN MAS’UD. (Tawassut:2/603) hadisnya tidak sahih. (Manhal:1/282)

(f)                                 AT-TARMIZI kata, dia seorang lelaki yang majhul dan tidak dikenali dalam kalangan ahli hadis bahawa dia riwayatkan hadis kecuali hadis ABDULLAH BIN MAS’UD berkenaan berwuduk dengan nabiz. (Manhal:1/282)

(g)                                AL-NAWAWI kata, ulama sepakat kata dia majhul, doif serta tidak diketahui namanya yang sebenar.

(h)                                ABU BAKAR BIN ABI DAUD dan AL-HAKIM kata, dia seorang pembuat air Nabiz di Kufah. (Tawassut:2/604)

AL-MUGHIRAH BIN ABI BURDAH (101H)

 AL-MUGHIRAH BIN ABI BURDAH (101H)

الْمُغِيرَةَ بْنَ أَبِي بُرْدَةَ

 

Khilaf dalam kalangan ulama berkenaan nama sebenarnya:

(a)                AL-MUGHIRAH BIN ABDULLAH BIN ABI BURDAH

(b)               ABDULLAH BIN AL-MUGHIRAH BIN ABI BURDAH (Bazl:1/176)

 

Maksud dengan BANI ABD AL-DAR itu adalah dia dari keturunan ABD AL-DAR BIN QUSOI BIN KILAB BIN MURRAH. (Bazl:1/176)

 

Jika dibandingkan dengan keturunan Nabi Muhammad saw seperti berikut;

 

[1] MUHAMMAD bin [2] ABDILLAH bin [3] ABDUL MUTTALIB bin [4] HASHIM bin [6] ABDUL MANAF bin [7] QUSOI bin [8] KILAB bin [9] MURRAH

 

Ini bermakna, keturunan BANI ABDIL AL-DAR ini ada hubungan dengan keluarga Nabi saw pada keturunan ke-7, iaitu pada QUSOI. Dan AL-MUGHIRAH adalah ketua kabilah ini. Dia berada di Afriqa dan Hijaz.

 

Dari catatan secara, dia terlibat perang laut:

(a)                KUASAI ANDALUSIA (90H)—bersama Gebenor Afrika pada masa itu, iaitu Musa bin Nusair (19H-97H) perang dalam menguasai maghribi – andalusia pada tahun 90H bersama dengan panglimanya, TARIQ BIN ZIYAD (50H-101H)

(b)               LAWAN KONSTENTINOPAL (98H)—Panglima perang laut untuk melawan Qastantiniyyah pada tahun 98 hijrah, di era khalifah SULAIMAN BIN ABDUL MALIK BIN MARWAN (54H-99H)

 

KOMENTAR ULAMA:

(a)                Dianggap SIQAH oleh AL-NASAIE, IBN HIBBAN.

(b)               IBN HAZM kata, dia majhul al-Ain dan al-Hal. Pendapat Ibn Hazm ini dibantah oleh WALIYUDDIN AL-IRAQI dengan menyatakan bahawa selain dari SA’ID BIN SALAMAH, terdapat perawi lain yang ambil hadis dari AL-MUGHIRAH, iaitu [1] AL-HARIS BIN YAZID, [2] ABDULLAH BIN ABI SOLEH, [3] MUSA BIN AL-ASY’AS AL-BALAWI, [4] YAHYA BIN SA’ID AL-ANSARI, [5] YAZID BIN MUHAMMAD AL-QURASHI, [6] ABU MARZUQ AL-TUJIBI DLL. (Tawassut:2/563-4)

(c)                ABU DAUD kata, dia ma’ruf. (Tawassut:2/563-4)

(d)               IBN HIBBAN kata, kalau ada orang kata bahawa AL-MUGHIRAH ambil hadis ABU HURAIRAH melalui bapanya, maka itu adalah WAHAM. (Bazl:1/176 |Manhal:1/277)

(e)               IMAM MALIK meriwayatkan hadis dari AL-MUGHIRAH.

 

Dia adalah rijal Abi Daud, al-Tarmizi, al-nasaie dan ibn Majah.


Nama perawi ini disebut dalam sunan Abi daud untuk kali pertama, iaitu dalam hadis ke-83.

ABU HAJIB (101H)

 ABU HAJIB (101H)

 أَبِو حَاجِبٍ

 

Nama sebenarnya seperti yang disebut para imam termasuk Abu Daud adalah SAWADAH BIN ‘ASIM AL-‘ANZI AL-BASRI.

 

Ibn Hibban kata, dia dari keturunan Quraish.

 

PENDAPAT ULAMA:

(a)                Dianggap siqah oleh IBN MA’IN, AL-NASAIE dan IBN HIBBAN.

(b)               ABU HATIM kata, dia syaikh.

(c)                IBN HIBBAN letak dia dalam senarai al-Siqat. Namun, dia kadangkala buat silap.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah kecuali al-Bukhari sahaja.


Nama perawi ini disebut dalam sunan Abi daud untuk kali pertama, iaitu dalam hadis ke-82.

Thursday, September 29, 2022

YAZID BIN SYARIK AL-TAIMIY (71H)

YAZID BIN SYARIK AL-TAIMIY (71H)

 يزيد بن شريك بن طارق التيمي

 

Dia adalah bapa kepada IBRAHIM BINI YAZID AL-TAIMIY. Nama penuhnya adalah YAZID BIN SYARIK BIN TARIQ AL-TAIMIY. Dipanggil dengan ABU IBRAHIM AL-KUFI.

 

Dia meninggal dunia di kufah.

 

AL-ZAHABI kata, dia dari keturunan AL-TAIMI, yang bukan dari entiti Quraish.

 

IBN HAJAR kata dalam AL-TAQRIB, bahawa dia sempat di era Jahiliyyah. Dia meninggal era pemerintahan ABDUL MALIK BIN MARWAN. (Kawkab:4/119)

 

KOMENTAR POSITIF:

Dianggap siqah oleh IBN MAIN dan IBN HIBBAN. (Kawkab:4/119)

Monday, September 19, 2022

ABU HAZIM SALMAN AL-ASYJAIE (100H)

 ABU HAZIM SALMAN AL-ASYJAIE (100H)

 أَبو حَازِمٍ سلمان الأشجعي

 

Antara tempat yang dia pernah sampai adalah Madinah dan Kufah. Dia sempat bermulazamah bersama Abu Hurairah selama 5 tahun.

 

Dia meninggal di era pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dia adalah rijal al-kutub al-sittah serta seorang perawi siqah.

Sunday, September 11, 2022

IBN KHARRABUZ

 IBN KHARRABUZ

ابْنِ خَرَّبُوذَ

 

Namanya adalah Salim bin Sarj. Ada kata, Salim bin al-Nu’man. Tetapi, sering disebut dengan ABU AL-NU’MAN BIN KHARRABUZ AL-MADANI.

 

Dia adalah hamba Ummu Subayyah yang dimerdekakan. Dia ada adik beradik bernama NAFI’.

 

Ada orang kata, dia adalah ma’ruf bin Kharrabuz. Namun, dibantah oleh Waliyuddin al-Iraqi dengan menyatakan bahawa Ibn Kharrabuz di sini berbeza dengan Ma’ruf bin Kharrabuz. (Tawassut:2/539)

 

Dalam Ibn Majah (382), namanya disebut dengan SALIM ABI AL-NU’MAN BIN SARJ;

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ قَالَ: حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ عِيَاضٍ قَالَ: حَدَّثَنَا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ سَالِمٍ أَبِي النُّعْمَانِ وَهُوَ ابْنُ سَرْجٍ، عَنْ أُمِّ صُبَيَّةَ الْجُهَنِيَّةِ قَالَتْ:

 

PENDAPAT ULAMA BERKENAAN DIA:

(a)                Ibn Hibban senaraikan dia dalam kitab al-Siqat. Namun, tidak ada namanya dalam kitab hadis kecuali hadis ini sahaja.

(b)               Ibn Main kata, dia siqah lagi syaikh yang masyhur.

Friday, August 19, 2022

MUTARRIF BIN ABDULLAH BIN AL-SUKHAIR BIN AUF BIN KA’AB (2H-95H)

 MUTARRIF BIN ABDULLAH BIN AL-SUKHAIR BIN AUF BIN KA’AB (2H-95H)

مُطَرِّفٍ بن عبدالله بن الشخير بن عوف بن كعب

 

Dipanggil dengan ABU ABDILLAH AL-‘AMIRI AL-BASRI. Memandangkan dia dilahirkan pada tahun 2 hijrah, bermakna semasa Nabi saw wafat dia berumur 9 tahun.

 

Memandangkan dia masih kanak-kanak lagi, tidak hairan ulama meletakkan dia dari kalangan TABIIN, bukan sahabat.

 

Dalam pendapat yang popular, dia meninggal dunia tahun 95 hijrah, tetapi ada pendapat lain kata, dia meninggal pada 86 hijrah.

 

Dia terkenal sebagai ahli ibadat dan zuhud di Basrah, malah dikenali sebagai orang yang doanya mustajab. Dikatakan dia mati di era pemerintahan Hajjaj bin Yusuf al-Saqafi.

 

Al-Zahabi ada bawakan satu riwayat daripada Humaid bin Hilal bahawa haruriyah (khawarij) datang berjumpa dengan Mutarrif untuk menyeru agar mengikut pandangan mereka. Dia berkata: kalau aku ada dua diri, salah satu diriku akan berbai’ah dengan kamu dan satu lagi tidak berbai’ah. Jika kamu menyeru kepada hidayah, diri aku yang satu lagi akan ikut kamu. Jika kamu berada dalam kesesatan, binasalah diriku satu, tetapi satu lagi masih berbaki. Namun, apakan daya, aku hanya ada satu diri sahaja.

 

Dalam Tabaqat al-Huffaz, al-Sayuti ada membawakan kenyataan AL-IJLI: tidak berjaya di basrah oleh Fitnah Ibn al-Asy’as kecuali dua lelaki sahaja; iaitu Mutarrif dan ibn Sirin.

 

Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, serta dianggap siqah oleh Ibn Sa’ad, al-Ijli bahkan tersenarai dalam al-Siqat.

ABU AL-SUDDIY ABDUL RAHMAN BIN NAHSYAL

 ABU AL-SUDDIY ABDUL RAHMAN BIN NAHSYAL

أَبُو السُّدِّيِّ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بن نهشل

 

Ada kata, nama bapanya adalah ABI KARIM. Dia dipanggil dengan ABU ISMAIL, kerana anaknya bernama ISMAIL. Dia tinggal di Asbahan.

 

Al-‘Uqaili kata, dia majhul yang tidak ada mutaba-ah. Ibn Hajar kata, dia majhul al-Hal. Di tempat lain, Ibn Hajar kata, dia Majhul al-Ain.  Namun, Ibn Hibban anggap dia siqah.

SABIT AL-AHNAF

 SABIT AL-AHNAF

 ثَابِتٌ الْأَحْنَفُ

 

Nama sebenarnya adalah SABIT BIN IYYADH AL-QURASHI AL-‘ADAWI. Dia adalah Tabiin yang sempat berjumpa dengan Ibn Umar, Ibn Amru, Ibn Zubair dan Abu Hurairah.

 

Abu hatim kata, la ba’sa bih; dianggap siqah oleh al-Nasaie dan disenaraikan Ibn Hibban dalam al-Siqat.

ABU RAZIN MAS’UD BIN MALIK AL-KUFI AL-ASADI (85H)

 ABU RAZIN MAS’UD BIN MALIK AL-KUFI AL-ASADI (85H)

 أَبُو رَزِينٍ مسعود بن مالك الكوفي الأسدي

 

Ada orang kata, dia meninggal tahun 91 Hijrah. Namun, pendapat yang paling popular kata, dia meninggal tahun 85 Hijrah.

 

Dia adalah Rijal Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah. Al-Bukhari tidak meriwayatkan hadisnya.

 

Dia dianggap siqah oleh Abu Zur’ah, al-Ijli dan disenaraikan oleh Ibn Hibban dalam al-Siqat. Kata Abu Hatim, menurut ceritanya dia terlibat dalam perang Siffin dan berpihak kepada Saidina Ali.Imam Bukhari riwayatkan hadisnya secara ta’liq dan dalam al-Adab al-Mufrad sahaja.

Wednesday, August 17, 2022

UBAIDULLAH BIN ABDILLAH BIN UTBAH BIN MAS’UD AL-HAZLI (98H)

 UBAIDULLAH BIN ABDILLAH BIN UTBAH BIN MAS’UD AL-HAZLI (98H)

عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ بْنِ مَسْعُودٍ الهذلي

 

Ulama Madinah ini salah seorang dari kalangan Tabiin dan guru kepada Umar bin Abdul Aziz. Dia adalah adik beradik kepada seorang lagi ulama hadis yang bernama AUN BIN ABDULLAH BIN UTBAH.

 

Atuknya bernama UTBAH BIN MAS’UD adalah sahabat nabi yang merupakan ketua bagi Bani Zahrah. Atuknya ini adalah adik beradik dengan ABDULLAH BIN MAS’UD yang merupakan sahabat Nabi yang terkenal.

 

Dia salah seorang dari kalangan al-Fuqaha’ al-Sab’ah (tujuh orang ahli fiqh Madinah yang menjadi rujukan pada Tabiin).

 

Dia meninggal pada tahun 98 hijrah (ada kata: 99H). Sebelum dia meninggal, dia ditimpa sakit mata sehingga hilang penglihatannya.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang perawi siqah lagi sahih.

Saturday, August 13, 2022

‘AJLAN

 ‘AJLAN

عجلان

 

Dia adalah bapa kepada seorang perawi hadis bernama MUHAMMAD BIN ‘AJLAN.

 

Ibn Hibban meletakkan namanya salam senarai al-Siqat. Dia adalah perawi Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-nasaie dan Ibn Majah.

MUHAMMAD BIN SIRIN (33H-110H)

 MUHAMMAD BIN SIRIN (33H-110H)

مُحَمَّدٍ بن سيرين

 

Dia dipanggil dengan ABU BAKAR AL-ANSARI AL-BASRI. Dia salah seorang ulama yang menghafal hadis sehingga digelar sebagai AL-HAFIZ.

 

Sering disebut sebagai orang yang mahir dalam ilmu takwil mimpi, bahkan sebenarnya dia turut mahir dalam ilmu tafsir dan ilmu hadis. Dia adalah tabiin.

 

Dia dilahirkan di era pemerintahan Saidina Osman. Bapanya adalah hamba kepada ANAS BIN MALIK. Bapanya telah dimerdekakan oleh Anas selepas dari PERANG AIN AL-TAMAR (tempat di barat kufah) yang dikepalai oleh Khalid bin al-Walid.

 

Ibunya bernama SOFIYAH yang merupakan hamba kepada ABU BAKAR AL-SIDDIQ, lalu dimerdekakan.

 

Dia terkenal dengan warak, sehinggakan setelah HAJJAJ mati, ada orang kutuk HAJJAJ, dia terus menegur dengan berkata: Hajjaj sudah mati. Tindakan kamu sebegini, dibimbangi berdosa di sisi Allah lebih besar dari dosa yang dilakukan oleh HAJJAJ.

 

Kewarakannya lebih terserlah, apabila diceritakan bahawa semasa dia di pasar, ada orang ternampak dia terus beristighfar dan bertasbih dan tahlil.

 

Dia seorang peniaga di pasar. Apabila dia pulang dari berniaga pada waktu malam, dia akan solat dan membaca al-Quran sehingga menangis.

 

Abu Qilabah ada bercerita bahawa ada seseorang lelaki datang berjumpa dengan Ibn Sirin. Dia kata, dia mimpi kencing berdarah. Ibn Sirin tanya dia: apakah kamu ada setubuhi isteri kamu ketika dia sedang haid? Dijawab: ya. Ibn Sirin pun kata: takutlah kamu kepada Allah dan jangan ulangi lagi.

 

Mahdi bin Maimun ada bercerita bahawa ada suatu hari dia nampak Ibn Sirin sedang berbual dengan beberapa orang temannya. Kelihatan dia ketawa sehingga dia berbongkok. Lalu, ada salah seorang mereka membaca hadis, dia terus terdiam seperti orang yang mati.

 

Asy’as berkata: ibn Sirin apabila ditanya hukum halal – haram, warna mukanya akan berubah.

 

Ibn Syubrumah pernah berkata: aku tidak nampak orang yang amat berani dalam fatwanya.

 

Hisham pernah kata:

ما رأيت أحدًا عند السلطان أصلب من ابن سيرين

Aku tidak nampak seorang pun yang lebih keras terhadap sultan berbanding ibn Sirin.

 

Tidak dinafikan bahawa Ibn Sirin memang mahir dalam takwil mimpi. Namun, kitab ta’bir ru’ya yang disandarkan kepada Ibn Sirin tidak boleh dipertanggungjawabkan.

 

Ada dakwaan mengatakan bahawa kitab tersebut, sebenarnya bukan tulisan Ibn Sirin, tetapi tulisan seorang ulama bermazhab syafie bernama ABDUL MALIK BIN MUHAMMAD AL-KHARKUSHI AL-NAISABURI (407H)

 

Dia adalah pemula kepada penggunaan perkataan AHL AL-SUNNAH. Dalam riwayat ada menyebyt bahawa dia berkata:

 

لم يكونوا يسألون عن الإسناد فلما وقعت الفتنة قالوا سموا لنا رجالكم فينظر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم وينظر إلى أهل البدع فلا يؤخذ حديثهم

“Dahulu, mereka tidak tanya sanad. Apabila berlaku fitnah, mereka berkata: sebutkan nama-nama rijal kamu kepada kami. Perlu diperhatikan kepada Ahli al-Sunnah, maka diambil hadisnya. Dan dilihat kepada ahli bid’ah, maka hadis mereka tidak boleh diambil”

 

Orang yang kuat berpuasa dengan puasa Nabi Daud. 

 

Dia menolak riwayat secara makna. Ibn Sa’ad kata, dia seorang siqah ma’mun faqih ilmu banyak serta warak.

 

Ahmad, Ibn Main dan ibn Hibban kata, dia seorang siqah. Bakar al-Muzani kata, aku tidak pernah jumpa orang sewarak Ibn Sirin. Bahkan, Ibn Hibban kata, dia orang yang paling warak dalam kalangan penduduk basrah.

 

 Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang perawi yang siqah lagi sahih.

IKRIMAH (20H-107H)

 IKRIMAH (20H-107H)

عِكْرِمَةَ

 

Dia dipanggil dengan ABU ABDILLAH AL-QURASHI AL-HASHIMI AL-MADANI. Ada pula kata, ABU MUJALID.

 

Dia berasal dari bangsa al-Barbar dalam kalangan penduduk al-Maghrib. Dia pernah sampai ke afrika, Yaman, Madinah, mesir, Khurasan, Mekah dan meninggal dunia di Madinah.

 

Dia dianggap siqah oleh Ahmad, Abu Hatim dan al-Nasaie. Bahkan, al-Ijli kata, dakwaan orang kononnya dia tidak siqah itu adalah tidak benar.

 

Imam al-Bukhari pernah menyatakan bahawa tidak ada seorang pun ahli hadis yang tidak berhujah dengan riwayat Ikrimah. Bahkan, al-Maruzi berkata bahawa umum ahli ilmu berhujah dengan hadisnya. Ishaq bin Rahwiyyah juga menyatakan bahawa Ikrimah adalah Imam Dunia di sisi kamu.

 

Namun begitu, Ibn Sa’ad kata, dia banyak ilmu, tetapi tidak boleh dibuat hujah pada hadisnya. Tetapi, Ibn ‘Adi pula kata, apabila yang meriwayatkan hadis darinya adalah para siqah, maka hadisnya boleh dibuat hujah.

 

Al-Sahranpuri kata, ulama khilaf berkenaan dengan Jarh dia; ada setengah kata dia pendusta seperti Yahya bin Sa’id al-Ansari; ada kata, dia seorang penganut khawarij seperti Mus’ab bin Abdullah al-Zubairi; dan ramai pula anggap dia siqah. (al-Bazl:1/152)

 

Dia adalah rijal al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasaie. Dia adalah seorang perawi siqah lagi sahih.

 

Wednesday, August 10, 2022

ABDUL RAHMAN BIN YA’QUB AL-JUHANI AL-HURAQI (101H)

 ABDUL RAHMAN BIN YA’QUB AL-JUHANI AL-HURAQI (101H)

 عبدالرحمن بن يعقوب الجهني الحرقي

 

Dipanggil dengan ABU AL-‘ALA’, kerana anaknya bernama AL-‘ALA BIN ABDIL RAHMAN juga seorang perawi hadis.

 

Dia dilahirkan di Hamdan (Iran) dan meninggal dunia di Madinah. Dia diakui ramai ulama hadis sebagai seorang perawi yang siqah.

 

Antara orang yang terbanyak ambil hadis dari Abu Hurairah.

 

Dia adalah Rijal Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, al-Nasaie dan ibn Majah.