Friday, February 25, 2022

ABU MUAWIYYAH MUHAMMAD BIN KHOZIM AL-DHORIR (113H-194H)

 

ABU MUAWIYYAH MUHAMMAD BIN KHOZIM AL-DHORIR (113H-194H)

 أَبُو مُعَاوِيَةَ مُحَمَّدُ بْنُ خَازِمٍ الضرير

 

Dia berasal dari kufah dan berlegar di sekitar Baghdad dan Kufah dan meninggal di Kufah.

 

Ada beberapa kritikan yang dilakukan oleh ulama berkenaan beliau seperti berikut;

 

Pertama, didakwa bahawa beliau seorang penganut Murji-ah. Hal ini mengikut dakwaan ramai ulama seperti Abu Hatim bin Habban al-Basti, Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Lebih berat dari itu, Abu Daud menyatakan bahawa dia adalah ketua penganut Murji-ah di Kufah. Abu Zur’ah al-Razi pula kata, dia bukan sekadar penganut, bahkan menyeru manusia kepada fahaman tersebut.

 

Kedua, didakwa dia seorang mudallis sepertimana kata Ahmad bin Hamzah bin Abi Tahir, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Ketiga, didakwa bahawa dia mudhtarib kecuali hadis yang dia ambil dari al-A’mash sahaja, sepertimana kata Ahmad bin Hanbal dan Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash.

 

Keempat, didakwa bahawa dia seorang ada buat silap dan waham dalam periwayatan hadis, sepertimana kata Ibn Hajar al-Asqalani dan Yahya bin Ma’in.

 

Kelima, lebih berat lagi, ada menganggap dia seorang pemungkar hadis, andai dia ambil hadis dari Ubaidullah bin Umar bin al-Khattab, sepertimana kata Yahya bin Ma’in. Dalam kata lain, jika dia ambil hadis dari Ubaidullah, maka riwayatnya itu hendaklah ditolak.

 

Dalam pada itu, terdapat beberapa factor yang menyebabkan riwayatnya diterima dengan alasan berikut:

 

Pertama, dia salah seorang dari rijal kutub sittah.

 

Kedua, beliau diakui seorang yang penghafaz hadis serta tekun, sepertimana kata Abu Hatim bin Habban al-Basti, al-Waqidi dan al-Zahabi.

 

Ketiga, dia disenaraikan juga sebagai salah seorang perawi siqah, sepertimana kata Ahmad bin Soleh al-Jili, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Waqidi dan Ya’qub bin Syaibah al-Sadusi.

 

Keempat, yang paling dipercayai adalah apabila dia mengambil hadis dari al-‘Amash (seperti dalam hadis ini), kerana dia amat hafal hadis yang dia belajar dari al-A’mash tersebut. Hal diperakui oleh ramai ulama seperti Ahmad bin Hanbal, Ibn Hajar al-Asqalani, al-Zahabi, Abdul Rahman bin Yusuf bin Khirash dan Yahya bin Main

No comments:

Post a Comment