Tuesday, October 25, 2022

ALQAMAH BIN QAIS (28SH-62H)

 ALQAMAH BIN QAIS (28SH-62H)

عَلْقَمَةَ بن قيس

 

Nama penuhnya adalah ALQAMAH BIN QAIS BIN ABDILLAH BIN MALIK BIN ALAQAMAH AL-NAKHAIE AL-KUFI. Dia dipanggil ABU SYIBL.

 

Dia merupakan ahli fiqh di Kufah, alim, ahli qari, ahli tafsir dan ahli hadis.

 

Dia dilahirkan pada hayat hidup nabi, dan meriwayatkan hadis dari ramai sahabat termasuk khalifah yang empat. (Manhal:1/286)

 

Dia tinggal di Kota al-Kufah di Iraq dan melazimi ABDULLAH BIN MAS’UD dan belajar dari sahabat besar tersebut.

 

Dalam al-Isabah, Ibn Hajar ada menukilkan perkataan Abdullah bin Mas’ud yang berkata:

 

ما أقرأ شيئًا ولا أعلمه إلا وعلقمة يقرؤه ويعلمه

Aku tidak membaca sesuatu, aku tidak mengetahui sesuatu kecuali Alqamah membacanya dan mengetahuinya.

 

Pengetahuan dia terhadap fiqh dan fatwa amat luas. Dianggap orang alim selepas Ali dan Ibn mas’ud sehingga ada setengah sahabat bertanya fatwa darinya. (al-Zahabi, al-Siyar).

 

Dia meninggal di era pemerintahan YAZID BIN MUAWIYAH ketika umurnya 90 tahun.

 

Dalam al-Siyar, AL-ZAHABI ada bawakan riwayat bahawa sebelum dia meninggal dunia, dia ada memberi wasiat;

 

إذا أنا حضرت فأجلسوا عندي من يلقنني: لا إله إلا الله، وأسرعوا بي إلى حفرتي، ولا تنعوني إلى الناس، فإني أخاف أن يكون ذلك نعيًا كنعي الجاهلية

“Apabila aku dekat dengan kematian, dudukkan orang yang yang mahu talkinkan aku dengan LA ILAHA ILLA ALLAH. Segerakan hantar aku ke kubur untuk dikebumikan. Tidak perlu bagitahu kepada orang ramai, sebab aku bimbang orang meratap sepertimana ratapan jahiliyyah”

 

AL-SAHRANPURI kata, AL-ASWAD dan ABDUL RAHMAN (bapa saudara kepada IBRAHIM AL-NAKHAIE) yang kedua-dua ini adalah anak kepada YAZID BIN QAIS; kedua-dua ini adalah anak saudara kepada ALQAMAH. Yazid adalah ABANG kepada ALQAMAH (Bazl:1/182)

 

KOMENTAR POSITIF:

(a)                Dianggap SIQAH oleh IBN MA’IN dan AHMAD. Cuma, Ahmad tambah lagi: dia siqah dan dia dari kalangan ahli kebaikan (manhal:1/286)

(b)               WALIYUDDIN AL-IRAQI kata, ulama sepakat kehebatan, ketekunan dan kemuliaannya dari sudut ilmu dan amalan agama. (Tawassut:2/616)

(c)                ABDULLAH BIN MAS’UD ada berkata, aku tidak membaca dan tidak tahu kecuali perkara itu sudah dibaca dan diketahui oleh ALQAMAH (Tawassut:2/616)

(d)               IBRAHIM AL-NAKHAIE kata, dalam kalangan murid ABDULLAH BIN MAS’UD yang mereka membaca al-Quran dan tahu pasal Sunnah adalah ALQAMAH.

(e)               AL-ZAHABI kata, dia al-imam al-hafiz amat baik dan seorang mujtahid besar.

 

Dia adalah rijal Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan al-nasaie. Hanya ibn Majah sahaja tidak riwayatkan hadis.


Nama perawi ini disebut dalam sunan Abi daud untuk kali pertama, iaitu dalam hadis 85.

No comments:

Post a Comment