Saturday, August 13, 2022

MUHAMMAD BIN SIRIN (33H-110H)

 MUHAMMAD BIN SIRIN (33H-110H)

مُحَمَّدٍ بن سيرين

 

Dia dipanggil dengan ABU BAKAR AL-ANSARI AL-BASRI. Dia salah seorang ulama yang menghafal hadis sehingga digelar sebagai AL-HAFIZ.

 

Sering disebut sebagai orang yang mahir dalam ilmu takwil mimpi, bahkan sebenarnya dia turut mahir dalam ilmu tafsir dan ilmu hadis. Dia adalah tabiin.

 

Dia dilahirkan di era pemerintahan Saidina Osman. Bapanya adalah hamba kepada ANAS BIN MALIK. Bapanya telah dimerdekakan oleh Anas selepas dari PERANG AIN AL-TAMAR (tempat di barat kufah) yang dikepalai oleh Khalid bin al-Walid.

 

Ibunya bernama SOFIYAH yang merupakan hamba kepada ABU BAKAR AL-SIDDIQ, lalu dimerdekakan.

 

Dia terkenal dengan warak, sehinggakan setelah HAJJAJ mati, ada orang kutuk HAJJAJ, dia terus menegur dengan berkata: Hajjaj sudah mati. Tindakan kamu sebegini, dibimbangi berdosa di sisi Allah lebih besar dari dosa yang dilakukan oleh HAJJAJ.

 

Kewarakannya lebih terserlah, apabila diceritakan bahawa semasa dia di pasar, ada orang ternampak dia terus beristighfar dan bertasbih dan tahlil.

 

Dia seorang peniaga di pasar. Apabila dia pulang dari berniaga pada waktu malam, dia akan solat dan membaca al-Quran sehingga menangis.

 

Abu Qilabah ada bercerita bahawa ada seseorang lelaki datang berjumpa dengan Ibn Sirin. Dia kata, dia mimpi kencing berdarah. Ibn Sirin tanya dia: apakah kamu ada setubuhi isteri kamu ketika dia sedang haid? Dijawab: ya. Ibn Sirin pun kata: takutlah kamu kepada Allah dan jangan ulangi lagi.

 

Mahdi bin Maimun ada bercerita bahawa ada suatu hari dia nampak Ibn Sirin sedang berbual dengan beberapa orang temannya. Kelihatan dia ketawa sehingga dia berbongkok. Lalu, ada salah seorang mereka membaca hadis, dia terus terdiam seperti orang yang mati.

 

Asy’as berkata: ibn Sirin apabila ditanya hukum halal – haram, warna mukanya akan berubah.

 

Ibn Syubrumah pernah berkata: aku tidak nampak orang yang amat berani dalam fatwanya.

 

Hisham pernah kata:

ما رأيت أحدًا عند السلطان أصلب من ابن سيرين

Aku tidak nampak seorang pun yang lebih keras terhadap sultan berbanding ibn Sirin.

 

Tidak dinafikan bahawa Ibn Sirin memang mahir dalam takwil mimpi. Namun, kitab ta’bir ru’ya yang disandarkan kepada Ibn Sirin tidak boleh dipertanggungjawabkan.

 

Ada dakwaan mengatakan bahawa kitab tersebut, sebenarnya bukan tulisan Ibn Sirin, tetapi tulisan seorang ulama bermazhab syafie bernama ABDUL MALIK BIN MUHAMMAD AL-KHARKUSHI AL-NAISABURI (407H)

 

Dia adalah pemula kepada penggunaan perkataan AHL AL-SUNNAH. Dalam riwayat ada menyebyt bahawa dia berkata:

 

لم يكونوا يسألون عن الإسناد فلما وقعت الفتنة قالوا سموا لنا رجالكم فينظر إلى أهل السنة فيؤخذ حديثهم وينظر إلى أهل البدع فلا يؤخذ حديثهم

“Dahulu, mereka tidak tanya sanad. Apabila berlaku fitnah, mereka berkata: sebutkan nama-nama rijal kamu kepada kami. Perlu diperhatikan kepada Ahli al-Sunnah, maka diambil hadisnya. Dan dilihat kepada ahli bid’ah, maka hadis mereka tidak boleh diambil”

 

Orang yang kuat berpuasa dengan puasa Nabi Daud. 

 

Dia menolak riwayat secara makna. Ibn Sa’ad kata, dia seorang siqah ma’mun faqih ilmu banyak serta warak.

 

Ahmad, Ibn Main dan ibn Hibban kata, dia seorang siqah. Bakar al-Muzani kata, aku tidak pernah jumpa orang sewarak Ibn Sirin. Bahkan, Ibn Hibban kata, dia orang yang paling warak dalam kalangan penduduk basrah.

 

 Dia adalah Rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang perawi yang siqah lagi sahih.

No comments:

Post a Comment