Saturday, August 13, 2022

AYYUB BIN ABI TAMIMAH KAISAN AL-SUKHTIYANI (68H-131H)

 AYYUB BIN ABI TAMIMAH KAISAN AL-SUKHTIYANI (68H-131H)

أَيُّوبُ ابن ابي تميمة كيسان

 

Dia dipanggil dengan ABU BAKAR AL-SUKHTIYANI AL-ANZI AL-BASRI. Dia adalah Tabiin, yang sempat melihat Anas bin malik. Syu’bah kata: dia adalah penghulu para fuqaha’. Sufyan bin Uyaynah kata: Aku tidak pernah jumpa tabiin seperti dia.

 

Dia digelar AL-ANZI sebab merujuk kepada kabilah dari keturunan ANZAH BIN RABI’AH.

 

Ulama berbeza pendapat berkenaan tarikh lahirnya, 66H (kata: Ismail bin Ulayyah) atau 68H (kata al-Zahabi). Hujah al-Zahabi, dia dilahirkan di tahun Ibn Abbas meninggal dunia.

 

Digelar dengan السختياني adalah kerana dia bekerja sebagai pembuat kulit buku dari kulit kambing. Perkataan سختيان; ada kata bahasa Farsi, dan ada kata bahasa Yunan.

 

Terkenal dengan merendah diri dengan ilmu. Ibn Syuzab pernah bercerita bahawa apabila ditanya sesuatu yang dia tidak tahu, dia akan kata: Bertanyalah ahli Ilmu.

 

Dia seorang yang zuhud yang dia sembunyikan kezuhudannya. Pernah terjadi bahawa orang datang rumahnya ada karpet mewah, yang dia tidak duduk kecuali ada tetamu sahaja. Ketika tidak ada tetamu, dia duduk atas pelapik yang diperbuat dari guni.

 

Syu’bah bercerita bahawa Ayub amat berjaga-jaga dengan masa. Tidak pernah lewat apabila berjanji, bahkan dia selalu datang awal dari waktu yang dijanjikan.

 

Hammad bin Zaid kata, dia amat tegar dalam mengikut Sunnah. Dia amat anti-khawarij sehingga dia pernah berkata: Khawarij itu hanya berbeza pada nama, tetapi bersepakat dalam hal pedang.

 

Juga amat anti-Bid’ah sehingga dia pernah kata: tidak bertambah ahli bid’ah itu sebarang ijtihad kecuali dia menambahkan dirinya jauh dari Allah.

 

Hammad berkata bahawa Ayyub pernah berkata: kamu tidak akan nampak kesalahan guru kamu kecuali kamu selalu duduk bersamanya.

 

Apabila dapat berita seorang pengamal sunnah yang kuat meninggal dunia, dia selalu cakap: telah hilang satu anggota dari anggota-anggota badanku.

 

Dia mati pada tahun 131 hijrah di Basrah, ketika itu Basrah ditimpa penyakit taun. Namun, tidak dijelaskan apakah dia terjebak dengan penyakit tersebut.

 

Dia adalah rijal al-Kutub al-Sittah, serta seorang perawi siqah lagi sahih.

No comments:

Post a Comment